NEWSROOM

[Berita Harian] Operasi kilang baharu lonjak pendapatan Daibochi

Oleh Azzman Abdul Jamal

KUALA LUMPUR: Daibochi Plastic and Packaging Industry Bhd (Daibochi), penyedia pembungkusan fleksibel utama yang berpangkalan di Melaka, meraih pendapatan tertinggi sebanyak RM388.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Syarikat itu turut mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 5.9 peratus kepada RM26 juta, kebanyakannya disumbangkan daripada jualan baharu dari operasi yang berjalan di Myanmar.

Pengarah Urusan, Thomas Lim, berkata bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2017, pendapatan kumpulan meningkat 16.9 peratus kepada RM105.7 juta, manakala keuntungan bersih melonjak 33.7 peratus kepada RM7.9 juta susulan sumbangan baharu dari kilang baharu di Myanmar dan penambahbaikan operasi di kilang Malaysia.

“Kita mencatatkan pertumbuhan pantas bermula Julai 2017, dengan tempoh enam bulan terakhir 2017 menyumbang 60 peratus terhadap keuntungan bersih kumpulan.

“Di sebalik kejayaan operasi kilang tempatan, kilang di Myanmar berjaya mencatatkan jualan eksport pertamanya pada Disember tahun lalu, selepas menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Pelaburan Myanmar.

“Hasilnya kita berjaya menghantar pembungkusan fleksibel sebanyak tujuh kontena kepada lapan pelanggan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah seterusnya dalam mengembangkan operasi Daibochi Myanmar adalah untuk mendapatkan kelayakan daripada syarikat multinasional (MNC), dalam usaha untuk meluaskan operasi pembungkusan di rantau Asia Tenggara.

“Secara keseluruhannya, kami percaya syarikat ini mengambil langkah yang betul untuk memposisikan operasi Myanmar dalam usaha meraih sumbangan pendapatan tahunan sebanyak RM100 juta menjelang 2019,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, Lim berkata, pihaknya mensasarkan untuk meningkatkan momentum prestasi bagi kedua-dua kilang berkenaan.

“Kilang di negara ini sudah menerima kontrak daripada pelanggan MNC pada suku pertama 2018 untuk membekalkan pembungkusan fleksibel ke Australia dan New Zealand. Penghantaran dijangka bermula pada suku kedua 2018.

“Daibochi kini menyasarkan pertumbuhan lebih tinggi di operasi Myanmar melalui jualan domestik dan eksport. Kami juga sedang memperlihatkan peluang baharu melangkaui Myanmar untuk menjadi peserta utama bagi pembungkusan fleksibel di rantau ini,” katanya.

Daibochi Berhad 197201001354 (12994-W). All Rights Reserved.

News Room [Berita Harian] Operasi kilang baharu lonjak pendapatan Daibochi